PENGENALAN KEPADA RAHMAN SELF THERAPY

September 28, 2007 by engkuazri

 

PENGENALAN

 

Malaysia dalam matlamat untuk membentuk sebuah Negara maju memerlukan komitmen yang padu dari seluruh warganya. Ini kerana persaingan sengit dalam era globalisasi tidak membenarkan kita untuk leka dan lalai dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

 

Natijah daripada keadaan ini mungkin menimbulkan ketidak seimbangan antara komitmen kerja dan juga pengukuhan personaliti serta hubungan dengan insan yang lain. Sebahagian mereka akan memandang ringan aspek ini kerana merasakan yang paling penting ialah menghasilkan kerja dan mendapatkan imbuhannya.

 

Sedangkan peranan personaliti dan hubungan insan ini sama pentingnya bahkan berkait rapat dengan profesionalisme mereka. Ia bukan hanya berkaitan dengan personalitI tetapi juga kunci untuk mengimbangi antara dua organisasi penting iaitu organisasi keluarga dan organisasi syarikat.

 

Sehubungan itu konsep RAHMAN Self Therapy©  merupakan satu kaedah terapi bagi memenuhi keperluan ini. Ia bukan sekadar satu kaedah teori semata-mata tetapi telah dibuktikan keberkesanannya melalui latihan praktikal. Manakala gaya susunannya samada konsep itu sendiri ataupun kaedah perlaksanaannya juga memudahkan para peserta untuk mengamalkannya sebagai satu rutin harian yang mudah.

 

MATLAMAT

 

1.    Menyediakan satu konsep lengkap berkaitan dengan kaedah pengukuhan personaliti dan hubungan insan berdasarkan satu tunjang yang disokong oleh teori dan praktikal serta mudah untuk diamalkan.

 

2.    Menjadikan konsep RAHMAN SELF THERAPY© sebagai bahan rujukan yang mampu diadaptasi dalam kehidupan seharian melalui sesi latihan berterusan dan bimbingan kendiri.

 

3.    Mewujudkan satu bentuk terapi yang lebih relevan dengan masyarakat Malaysia dan Asia yang mempunyai kaedah dan pendekatan yang berbeza dengan apa yang dicadangkan daripada terapi-terapi terdahulu.

 

4.    Mengukuhkan konsep “Believe System” sebagai satu sistem terbaik dalam menyelia dan mengawal setiap gerak dan tindakan dalam melaksanakan sesuatu tugasan dan hubungan.

 

RASIONAL

 

Komitmen manusia hari ini yang sangat tinggi kadang kala melupakan mereka tentang pentingnya mengukuhkan personaliti dan menjaga hubungan dengan insan yang lain. Anggapan bahawa komitmen kerja adalah satu kehidupan mutlak harus dicabar dan dibendung agar keseimbangan dalam hidup dapat dicapai dan diamalkan.

 

Satu kaedah latihan yang lebih praktikal perlu diperkenalkan memandangkan konsep latihan hari ini lebih bersifat jangka pendek dan sukar untuk dilihat keberkesanannya akibat daripada kesuntukan masa dalam melaksanakan sesuatu modul.

 

Bersempena dengan 50 TAHUN MERDEKA pula, sudah sampai masanya satu terapi berteraskan corak dan kehidupan sendiri diperkenalkan agar ia lebih mudah digunapakai dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Dalam masa yang sama sebarang terapi positif terdahulu tidak ditolak penggunaannya. Hakikatnya terapi yang memahami keadaan semasa harus diperkenalkan.

 

Manakala dengan pelbagai sistem yang telah diperkenalkan demi memastikan manusia mematuhi peraturan dan bersikap amanah dalam pekerjaan dan hubungan seharian, “believe system” merupakan sistem terbaik dalam usaha mencapai matlamat tersebut.

 

Justeru, dengan segala keyakinan, pendedahan, pengalaman, kemahiran dan ilmu pengetahuan yang digali selama ini, satu terapi bertunjangkan “Believe System”, bersesuaian dengan keadaan masa kini serta mudah untuk diamalkan harus diperkenalkan sebagai satu bekalan dalam melaksanakan kehidupan yang lebih seimbang dan harmoni.

 

PENGERTIAN

 

Penggunaan RAHMAN Self Therapy© mempunyai sebab yang tersendiri;

 

Rahman: pengertian Rahman ialah satu bentuk RAHMAT atau KEBAIKAN untuk semua manusia dan isi alam. Ia tidak terbatas oleh bentuk agama, bangsa atau sempadan tanah air. Selagi individu-individu tersebut mencari kebaikan, ketenangan, keseronokan yang positif, ingin meningkatkan kemahiran individu dan perhubungan sesama insan, maka selagi itu kebaikan dalam terapi ini akan dapat digunapakai.

 

Self: membawa pengertian DIRI adalah membawa kepada maksud perubahan dan keinginan seseorang perlu hadir dalam diri keluar (inside out) bukan dari luar ke dalam (outside in). ini bermakna segala perbincangan, latihan, kemahiran dan pelbagai lagi pendekatan merupakan fasa kedua setelah diri sendiri membuat keputusan untuk menerimanya.

Therapy: adalah pendekatan untuk MERAWAT. Dalam konsep RAHMAN Self Therapy© pula ialah kaedah rawatan berasaskan pengukuhan atau penyuburan aspek positif sebelum ia menjadi suatu budaya negatif dalam diri setiap individu samada berkaitan dengan personaliti mahupun hubungan insan.

 

Manakala sumber input berdasarkan kepada aspek spiritual dengan penekanan yang seimbang dalam aspek intelektual, fizikal dan emosi. Faktor Sikap, Ilmu Pengetahuan dan Kemahiran juga merupakan asas dalam memahami terapi ini.

 

KENAPA RAHMAN

 

Perkataan Rahman diambil bersempena dengan nama Engku Abdul Rahman iaitu ayahanda kepada Engku Mohd Azri; Pengarah Urusan One Step Management Consultant Sdn. Bhd. dan juga pengasas kepada RAHMAN Self Therapy©.

 

AKRONIM

 

Kependekan atau ringkasan kepada RAHMAN ialah:

 

R                     Rahsia

A                     Alam

                        dan

H                     Hidupan

M                     Milik

A                     Allah

                        yang

N                     Nyata

 

KANDUNGAN

 

Bagi memudahkan pengenalan kepada konsep Rahman Self Therapy© ini, pendekatan perbandingan ialah dengan melihat konsep pembentukan SEPOHON POKOK.

 

i)             AKAR/SISTEM RAHMAN SELF THERAPY©

 

Bagi sebatang pokok, tunjang atau akar merupakan elemen atau bahagian yang sangat penting. Walaupun ia tidak kelihatan melalui mata kasar tetapi setiap orang bersetuju bahawa ia sangat penting. Dalam kaedah latihan pada hari ini, kerap kali ia tidak sempat untuk disentuh dan sebahagian lain pula merasakan ia tidak begitu penting. Sedangkan akar inilah yang memberikan kekuatan kepada pokok untuk bertahan apabila ditimpa ribut atau angin yang kuat. Akarlah yang mencengkam tanah dan mempertahankan pokok dari tumbang. Tanpa akar yang kukuh, pasti pokok secara keseluruhan tidak akan mampu bertahan lama.

 

Dalam konsep Rahman Self Therapy©, konsep akar dikenali sebagai 11 SISTEM Rahman Self Therapy© mengandungi 11 teras atau tunjang yang akan menjadi teras kepada konsep Rahman ini. Setiap satu dari 11 teras ini mempunyai sebab yang jelas dan ia bakal menyokong “Believe System” yang ada pada setiap insan.

 

ii)            POHON/PRINSIP RAHMAN SELF THERAPY©

 

Dalam konsep pokok, batang atau pohon pokok merupakan perantara antara akar dan juga bahagian-bahagian lain seperti ranting, bunga dan buah. Kepentingan pada pohon atau batang pokok sememangnya diakui dan dapat dilihat dengan mata kasar.

 

Dalam konsep Rahman Self Therapy© ini, pohon atau batang pokok dikenali sebagai 46 PRINSIP RAHMAN SELF THERAPY©. Ia mengandungi panduan ringkas dan mudah untuk diamalkan. Di samping ia dimasukkan ke dalam program latihan, para peserta juga dibekalkan dengan buku kecil bersaiz poket untuk memudahkan mereka membawa dan membacanya ketika masa lapang.

 

iii)           RANTING/LATIHAN RAHMAN SELF THERAPY©

 

Sebagaimana difahami bahawa ranting pokok akan mengeluarkan bunga yang seterusnya membentuk buah. Pengubahsuaian dan penambahbaikan kepada ranting biasanya menghasilkan bunga atau buah yang lebih berkualiti.

 

Dalam konsep RAHMAN SELF THERAPY© rantingnya ialah satu bentuk PROGRAM yang dinamakan RAHMAN SELF THERAPY©; 12 SESI PROGRAM PENGUKUHAN PERSONALITI DAN HUBUNGAN INSAN (RST;PPHI). Program yang mengandungi 12 sesi ini sebaik-baik dijalankan selama 12 minggu dengan anggaran masa selama 4 jam seminggu (seminggu sekali). Walaupun begitu satu kaedah program selama 3 hari juga telah diperkenalkan. Ia bagi memberi peluang kepada peserta yang tidak dapat memberikan komitmen kepada program 12 minggu ini.

 

Maklumat lanjut berkaitan dengan RST;PPHI ini akan diterangkan dalam kertas cadangan yang berasingan bagi memberikan kefahaman yang mendalam tentang peranan, objektif dan kaedah perlaksanaan yang dijalankan.

 

iv)           BUNGA/ELEMEN RAHMAN SELF THERAPY©

 

Pokok yang baik akan mengeluarkan bunga yang baik. Dalam konsep RAHMAN SELF THERAPY ini. Bagi memastikan latihan dan konsep yang dianjurkan ini dapat diterima dengan mudah dan diamalkan secara natural maka 15 ELEMEN RAHMAN SELF THERAPY© telah dibekalkan kepada para peserta sepanjang program dijalankan. 15 Elemen ini mengandungi tips-tips ringkas dan mudah diamalkan serta tidak memerlukan pemikiran yang terlalu mendalam. Cukup sekadar membacanya para peserta telah memahaminya dengan bantuan RST;PPHI.

 

v)            BAJA/METHODOLOGI RAHMAN SELF THERAPY©

 

Bagi menyuburkan sepohon pokok, ia memerlukan penjagaan dan juga baja agar ia bakal mengeluarkan hasil yang baik. Dalam konsep ini, methodology yang digunapakai ialah KONSEP 2 L ; LATIH DAN LAPOR RAHMAN SELF THERAPY. ©

 

Melalui pendekatan ini para peserta yang mengikuti kursus ini akan menolak diri mereka agar keluar dari zon selesa masing-masing dan berusaha untuk melatih diri mereka dengan setiap kemahiran dan teknik yang dikongsi dalam sesi latihan. Kemudian mereka akan datang pada sesi seterusnya dan melaporkan apa yang telah mereka lakukan dan bagaimanakah hasilnya. Sekiranya ia positif maka mereka akan berkongsi dengan rakan-rakan yang lain manakala sekiranya ia negatif mereka akan sama-sama mencari jalan untuk melakukan penambahbaikan.

 

vi)           PAGAR/PEMIKIRAN RAHMAN SELF THERAPY©

 

Bagi menjaga keselamatan pokok dan menghalang daripada dirosakkan oleh perosak yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkannya, pokok yang baik harus dipagari agar sentiasa terlindung dari sebarang ancaman.

 

Dalam konteks RAHMAN Self Therapy© ini, pagar tersebut ialah 25 PEMIKIRAN RAHMAN Self Therapy©. Di dalam setiap sesi PPHI, para peserta akan mendalami DUA pemikiran RAHMAN Self Therapy sebagai pelindung dalam menghadapi sebarang ancaman samada dalam diri mahupun dari luar. Ia merupakan satu ayat ringkas dan mudah difahami serta berhubung rapat dengan topik yang dibincangkan pada sesi tersebut. Ini bagi memudahkan para peserta merumuskan kepentingannya dalam kehidupan mereka.

 

vii)         BUAH/HASIL RAHMAN SELF THERAPY©

Buah pada sepohon pokok adalah manifestasi terhadap segala pengorbanan dan kesungguhan yang telah dilakukan bagi mendapatkan hasil. Hasil yang terbaik pula datang daripada penjagaan yang sempurna daripada akar, pohon, ranting dan bunga. Di samping itu penjagaan baja dan perlindungan (pagar) juga merupakan elemen penting dalam menghasilkan buah yang baik.

 

Dalam konsep RAHMAN SELF THERAPY©, buah yang dimaksudkan ialah para PESERTA PROGRAM RST©;PPHI. Kami percaya hasil daripada keberkesanan terapi ini dapat dilihat daripada diri para peserta kursus. Semakin mereka memberikan komitmen dan menolak diri keluar dari zon selesa masing-masing semakin mereka akan mendapat manfaat daripadanya.

 

 

KAEDAH PERLAKSANAAN

 

Bagi menjamin setiap individu yang berminat mendalami dan mengamalkan RAHMAN Self Therapy©, mereka harus mengikuti Program Pengukuhan Personaliti dan Hubungan Insan. Cara program ini disusun dipercayai mampu memberikan impak yang maksimum kepada para peserta untuk memahami dan mengamalkannya. Bukan itu sahaja malah mereka yang berpotensi mampu menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari untuk disebarkan kepada orang di sekeliling mereka.

 

MAKLUMAT TAMBAHAN

 

Bagi maklumat lain berkaitan dengan program dan juga RAHMAN SELF THERAPY©, pihak kami akan melakukan pembentangan kepada mereka yang berminat.

 

PENUTUP

 

Adalah diharapkan agar RAHMAN SELF THERAPY© ini akan memberikan impak yang positif dalam pengukuhan personaliti dan hubungan insan. Sebarang komen, kritikan, sumbangan dan penilaian daripada sesiapa sahaja adalah sangat dihargai bagi menjadikan terapi ini lebih berkualiti dan mampu menyumbang kepada kehidupan manusia yang lebih seimbang dan harmoni.

 

 

 

 

 

Hello world!

September 28, 2007 by engkuazri

Welcome to WordPress.com. This is your first post. Edit or delete it and start blogging!